Wednesday 6 January 2016

Rambutan nan sebatang.....

Saya dah tak ingat bilakah pokok rambutan ini ditanam. Tapi yang pasti dah melepasi tahap 3 tahun. Rambutan baka apa pun saya tak pasti. Menurut kata pak cik kat nursery pokok tu, ianya rambutan gading yang berbuah kuning. Katanya lagi pokok ni akan mula mengeluarkan buah selepas 3 tahun. Rasanya sekarang ni dah lebih 3 tahun usianya. Masa memula beli anak pokok dulu tingginya hanya 2 kaki. Sekarang ni baru meninggi dalam 6 kaki. Agak lambat mengikut perkiraan saya sebab pokok mangga yang seusianya lebih tinggi dan berbuah lebat.
Saya tanam kat luar pagar sebab takut menjadi tarikan monyet apabila berbuah nanti. Konon nak jadikan sebagai pokok teduhan juga untuk kereta saya sambil menikmati hasil buahnya jika ada rezeki. Tapi hingga kini nampaknya belum berhasil. Pernah juga ia mengeluarkan bunga dan putik buah semasa musim buah sebelum ini tapi semuanya gugur sebelum masanya. Mungkin juga saya terlebih excited bila nampak bunga-bunga rambutan tu. Maklumlah setiap kali balik sekolah saya akan parking kereta sebelah pokok tu. Benda pertama yang akan saya belek setiap kali keluar kereta adalah pokok rambutan itu. 

"Hmmm.....bila la awak nak berbuah ye?..."

Agaknya dia penat kot nak dengar soalan yang sama setiap kali. Terus merajuk tak nak berbuah langsung.
Asalnya saya tanam terus atas tanah kat luar pagar tu. Main korek je lubang lepas tu tanam. Tak teringat pulak nak kaji tips menanam rambutan ni. Pakai kepala sendiri. Selepas beberapa hari habis luka-luka batang dia sebab terkena libasan mesin pemotong rumput. Mula-mula tu saya biarkan  je tapi lama-lama macam terbantut pulak pokok tu tak nak membesar. So saya susun beberapa keping batu bata keliling pangkal pokok tu. Lepas tu tambah tanah hingga menutupi semua kawasan luka kat batang tu. Alhamdulillah pokok tu mula membesar semula. Bukan setakat pokok rambutan, rumput-rumput pun ikut sama merimbun dalam kawasan pangkal pokok tu sebab semangat dapat share baja pokok. Awal-awal saya rajin mencabut rumput keliling pangkal pokok tu. Tapi bila kadang-kadang tak sempat ataupun terlupa maka merimbun lah rumput tu menjadi habuan pemotong rumput. Pemotong rumput kat taman perumahan saya ni memang rajin, asyik merumput je tak kira masa. Memang saya tak take note pun bila waktu depa buat kerja-kerja tu. Tahu-tahu saja batang pokok rambutan tu luka-luka kembali. Dah masuk tiga layer dah saya susun batu bata tu. Masih batang pokok mengalami luka-luka. Kesian. Nasib lah kan, sapa suruh tanam pokok kat luar kawasan. 
Akhirnya saya tabur batu-batu hiasan kat pangkal pokok tu dengan harapan rumput-rumput kurang tumbuh nanti. Tapi nampak pelik lah pulak. Dah nampak macam longgokan telur unta pulak kat pangkal pokok tu. Macam sarang burung pun ya juga. Dah la bata-bata tu kotor berlumut. Hmm.....
Tak kisah lah. Yang penting harapan saya nanti pokok rambutan nan sebatang ini tidak akan luka lagi dan boleh hidup subur dan berbuah lebat. Mudah-mudahan juga ia dapat sama bersaing dalam musim buah yang akan datang nanti. 


PS: "Nenek tanam pokok durian ni, sempat ke nak makan buah dia?"  Tiba-tiba teringat pertanyaan Ujang dalam buku katun Ujang semasa menemani neneknya berkebun.


No comments:

60 Days in UK: Kew Bridge & River Thames

Sabtu, 9hb Mac 2024 Hari ini dah masuk hari ke-38 kami di London. Sejak berpindah ke rumah sewa ketiga ini kehidupan agak tenang sedikit dan...