Thursday 15 December 2016

Getah cermin tercabut


Selesai cerita unser terkunci hari tu timbul cerita lain pulak. Masa depa dok tolong buka pintu hari tu habis depa cabut getah cermin sebelum depa jolok godeh-godeh cari punat yang tak jumpa-jumpa tu. Bila nak letak balik getah tu dah tak berapa nak lekat sebab gam pelekat tu dah kureng. Penyangkut asal tu pulak dah tanggal-tanggal. Makanya setiap kali nak buka cermin, getah cermin unser tu asyik tertanggal je. Cuba letak gam baru pun dah tak jalan. Bila nak naikkan cermin kereta, getah dia pun ikut naik sekali. Masalah pulak tiap kali nak turun naik cermin tingkap untuk touch card masuk taman rumah ni atau TnG kat tol. Hinggalah pada suatu hari ianya tetiba tertanggal, tercabut dan jatuh sendiri  di suatu hiway. Tak kan lah saya nak berenti tetiba nak pungut getah keramat tu tetengah hiway. Maka berlubanglah celah pintu tingkap unser saya tu sehingga menampakkan semua wayar berselirat kat dalam tu, kalau ada orang nak jenguk tengok la. Lagi timbul masalah apabila waktu hujan turun mencurah-curah, siap kena balut dengan plastik hitam untuk hadang air memasuki celah-celah pintu tu.

So kebetulan ada masa free hari tu saya pun terus ke bengkel yang biasa saya pergi. Senang berurusan kat bengkel ni sebab mekanik tu baik-baik belaka. Tapi depa pun takde stok unser yang ori. So kena call center dia tanya harga dan sebagainya. Kalau kita setuju harga baru depa order. Sementara tunggu barang tiba boleh la balik rumah dulu. Dah ready baru depa call balik


Budak mekanik tu memang peramah. Dah alang-alang nampak wayar berselirat dalam pintu kereta tu depa check sekali wayar lampu yang berjuntai-juntai hari tu. Wayar tu sebenarnya untuk adjust side mirror yang putus masa cabut pintu untuk cat baru (link) hari tu. Cemana tah bengkel cat tu buat kerja. Side mirror tu jadi kaku je, tak leh adjust. Hanya sesuai untuk posisi pemanduan saya. Kalau orang lain nak drive kereta saya memang out. Malas nak ungkit sebab dah balik rumah baru nampak. Kerja mengecat nampak bagus tapi banyak benda lain jadi rosak, terutama bahagian sambungan wayar dan pemasangan skrew. Ada bahagian yang sepatutnya pakai skrew depa main letak gam mati. So menyusahkan kita dikemudian hari.  Apa-apa pun, benda dah jadi. Redha je lah. Rezeki masing-masing.

"Bahaya kak kalau side mirror kaku macam ni. Kita repair 5 minit je...." Apa-apa lah dik oi.

Nak pasang getah cermin tu sekejap je, tak sampai pun 10 minit. Lama sikit sebab depa dok adjust nak sambung balik wayar side mirror tu.

PS: Harga getah cermin tu RM290 untuk dua pintu. Tambah upah pasang dan repair wayar side mirror plus GST jadi RM325. 

Monday 12 December 2016

Gulai ikan temenung.

Dah lama teringin nak makan gulai ikan temenung. Last makan masa ikut hubby bawa tetamu dari Indonesia. Kami pi makan kat Restauran Pegaga, Ukay Boulevard. Saja order gulai kalut, nama glamour untuk kari ikan temenung. Ada orang kata ikan temenung ni sama ngan ikan kembung. Tapi seingat saya depa macam lain sikit. Ikan kembung memang kembung-kembung. Tapi ikan temenung ni body cutting je sama macam ikan kembung tapi agak leper, tidak kembung. Saiz lebih kecik daripada ikan kembung. Mungkin sebab depa asyik temenung kot, kurang makan, sebab tu tak berapa kembung. Arwah mak mentua saya panggil ikan kembung yang leper ni ikan pelaling. 
Ikan kembung temenung?

Masa kat kampung dulu-dulu ikan temenung ni lah yang banyak orang jual selain ikan tamban dan gelama. Kami panggil ikan hidup, nama khas untuk ikan basah atau ikan segar walaupun dah tak segar mana. Biasanya kami makan ikan masin atau ikan kering je. Kampung kami jauh dari laut, jadi agak susah nak dapat makan ikan segar. Lagipun masa tu manalah ada transport. Harapkan pakcik jual ikan naik motor je. Teringat masa saya kecik, biasanya dalam kol 8.30 pagi mak-mak akan mula keluar berkumpul tepi jalan tunggu pakcik motor jual ikan. Pakcik jual ikan tu akan bunyikan hon motor pon, pon, pon dari jauh lagi.  Bila dia sampai, mak-mak akan kerumun keliling tong ikan dia untuk pilih ikan. Sebenarnya tak pilih mana pun. Dah tau dah ikan apa nak beli. Temenung, temenung, temenung. Lepas tu temenung lagi nak masak apa ngan ikan temenung tu. 

Gulai ikan temenung ialah all time favourite kami. Wajib dari air tangan nenek saya. Nenek saya seorang yang rajin. Seingat saya tidak pernah sekali nenek akan duduk saja tanpa buat apa-apa. sambil baring pun dia boleh buat kerja. Kalau hari tu dah planning nak masak kari, pepagi buta lagi nenek dah rendam cili kering, sangai segala jintan manis. jintan putih dan ketumbar. Lepas tu giling semua benda tu buat curry paste. Pantang larang nenek saya kalau guna serbuk kari. Kelapa kukur sendiri untuk buat santan. Saya lah teman setia nenek di dapur, in fact di mana sahaja.

"Kita ni kalau nak masak ni kena ada kasih sayang. Baru lah orang makan sedap...." Sungguh saya amat yakin nenek sayang saya sebab makanan nenek sentiasa sedap. 

Saya sendiri tak pernah masak menu ini sejak kawen. Entah kenapa tetiba memori gulai ikan temenung ni asyik datang tanpa diundang. So semalam, bertemankan memori nenek saya masak sendiri gulai ikan temenung. Sambil cuci ikan sambil derasnya air mata menuruni pipi. Tapi mana mungkin dapat sesedap rasa nenek kalau pantang larang pertama pun dah langgar. Tapi at least saya tumbuk bawang guna lesung batu pusaka nenek. Bancuh dengan rempah kari dan air asam jawa. 
Lesung batu..... the essential.
Bahan tumis.


Masak gulai ikan temenung ni tidak susah mana.pun.....

Bahan asas

  • 4 ekor ikan temenung
  • 3 ulas bawang merah (tumbuk)
  • 2 sudu besar rempah kari ikan (apa-apa brand pun boleh)
  • Asam jawa sebesar ibu jari (lagi masam lagi sedap)
  • 3 ulas bawang merah (hiris)
  • 3 ulas bawang putih (hiris)
  • 1/2 sudu teh halba campur
  • Sedikit daun kari
  • Santan 1/2 kotak kecik
  • 2 cawan air
  • Minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa
  • Tambahan: Bendi, tomato, lada merah, terung atau apa sahaja.
Caranya:
  1. Panaskan minyak dalam periuk. Kuali pun boleh. Nenek saya guna periuk tanah, lagi satu secret recipe nenek saya. Mana tah pergi periuk tu sekarang. 
  2. Masukkan bahan tumis (hirisan bawang merah dan putih, halba campur dan daun kari). Kacau hingga bawang garing.
  3. Lepas tu masukkan bacuhan rempah (rempah kari+bawang merah tumbuk +air asam jawa). Kacau hingga garing dan pecah minyak. 
  4. Lepas tu masukkan air dan santan dan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati. Tunggu hingga mendidih.
  5. Apabila mendidih masukkan ikan temenung, bendi, tomato dan apa sahaja sayur.
  6. Tunggu hingga mendidih lagi sekali,  hingga bendi lembut. Siap.
Makan dengan nasi panas. Cicah peknga pun boleh.


PS: Ada perkara, hanya kita sahaja yang faham.....


Thursday 8 December 2016

Jalan-jalan Bandar Hilir.

Hujung minggu baru ni tetiba rasa nak pi cuti-cuti santai. Kebetulan Dayah balik bercuti, hubby keluar kawasan, anak bujang semua ada hal memasing dan Iman pun tak balik so saya berpakat ngan anak dara dua orang tu pi jenjalan overnight somewhere. Banyak jugak la destinasi yang dibincangkan tapi macam tak sesuai dengan mood saya. Masa bujang dulu boleh tahan jugak independentnya tapi sejak kawen ni asyik bergantung ngan hubby je. Jadi cuak pulak nak gi memana tanpa suami di sisi, terutama kalau nak  kena drive jauh-jauh. Akhirnya selepas buat senarai pendek, kami putuskan untuk ke Melaka sahaja.

"Jom, Umi bawa Accord. Alang-alang nak hantar ayah pi KLIA, kita terus gi Melaka....." kemain planning.

Sebenarnya tak tetunai pun planning nak terus ke Melaka tu. Flight hubby hari Jumaat pagi. Maka kami menghantar hubby ke airport pagi Jumaat itu. Esoknya, awal pagi Sabtu nak kena hantar Amin gi program sekolah pulak. Depa ada program explorace untuk pelajar lepas SPM. Maknanya lepas hantar hubby kami patah balik rumah dulu. Tapi sempat lagi singgah Bangi Sentral dan shopping kat Bangi Getaway on the way balik. Dah lama juga planning nak jalan-jalan window shopping kat Bangi nih. Maka tertunailah jugak hajat di hati. Esoknya lepas hantar Amin baru kami gerak ke Melaka. 

Sebelum perjalanan, draw cash penuh dompet, isi minyak kereta penuh tangki, caj T&G banyak-banyak. Suka hati guna pakai harta suami. (^-^). Kami gerak kol 9:30 pagi. Saja serah diri dalam traffic jam hari Sabtu ke Melaka. Alhamdulillah kami tiba di Bandar Hilir sebelum kol 1 tengahari. Takde la jam teruk sangat. Hanya perlukan kesabaran di dada. Destinasi pertama ke Coconut Shake Klebang. Dah lama Nina mengidam (Link) coconut shake special ni.
Muka bahagia

Bagus juga idea Coconut Shake Klebang ni. Depa specialise buat coconut shake saja. Kalau nak take away memang kena beratur panjang. Depa buka gerai tepi jalan khas untuk orang nak take away sahaja. Wajib ada kesabaran yang tinggi masa beratur tu. Kalau nak minum kat warung dia pun boleh. Depa ada kawasan khas untuk pelanggan minum di situ. Siap ngan free parking. Servis dia tip-top. Cepat dan pantas. Kami lepak-lepak minum kat warung tu, sambil Nina beratur nak takeaway, [sebab nakkan cawan plastik yang ada label tu, nak glamer pos kat IG, sebab kalau minum kat situ depa hidang dalam gelas kaca, takde label 'Coconut Shake Klebang' tuh. Adoi.... layan jelah mek sorang ni] Harga sangat murah sangat berbaloi. Segelas RM2.70 sahaja. Pelanggan memang ramai sebab lunch hour hari Sabtu kot. 

Gigih.

Dah puas melayan cek mek tu kami terus pi check-in hotel. Kami buat booking malam sebelum tu. Disebabkan last minute planning maka hotel-hotel semua penuh. Alhamduillah rezeki kami ada di Seri Costa. Itu pun kena bayar penuh untuk secure booking sebab permintaan tinggi. Kami pilih hotel yang dalam kawasan bandar supaya senang nak jalan kaki je pusing-pusing kawasan Bandar Hilir tu. Sungguh parking sangat susah dan penuh sebab kereta sangat banyak. Jalan jam. Kami jalan kaki pun lebih laju daripada orang naik kereta. No exaggeration di situ. Lepas check-in dan qailulah, kami keluar pi cari asam pedas Melaka sebelum naik menara Taming Sari. 
Menara Taming Sari
Pastikan tunjuk Mycard masa beli tiket. 
Kalau tidak, depa caj harga tourist, nearly double.

Sungguh, kalau tidak kerana melayan anak dara dua beradik tu tak hingin saya bergayat-gayat naik bendalah tu. Takde apa yang menarik pun. Rasa macam naik flight take off pusing-pusing kejap lepas tu turun untuk landing. Jarak masa selama 7 minit sahaja. Rupa-rupanya saya masih dalam kategori cool, mungkin sebab biasa naik roller coaster masa bujang dulu-dulu. Tengokkan ada makcik  sebelah saya tu dua kali lima juga kes paksa rela teman anak-anak berjimba.

"Sojuk berpoluh-poluh ni ha.....gayat den" akak tu komen sambil gelak-gelak je. 

"Pandang langit je kak.....boleh hilangkan rasa gayat." confident, sukahati saya bagi petua.


Lepas tengok langit kami jalan-jalan tengok bangunan bersejarah pulak. Penat nak berjalan, kami pusing-pusing keliling bandar naik beca. Depa caj RM25 untuk satu trip ke tiga lokasi. 
Sabar je pakcik beca tu bawa beban.
1. Keretapi lama 
2. Kota A Famosa

3. Dataran pahlawan 

Menghampiri malam kami pi River Cruise pulak. Berangan nak tengok sunset sambil cruise tapi tak nampak. Cruise menyusuri sungai Melaka melalui belakang-belakang bangunan. Ambik masa 40 minit untuk pergi dan patah balik laluan yang sama. On the way pergi tu masing-masing penumpang excited ambik gambar, selfie, dan sebagainya. Lepas tu semua dah boring tak tau nak tengok apa. Selisih dengan bot-bot lain pun masing-masing dengan muka boring. Masa perjalanan 40 minit tu agak lama dan panjang bagi saya yang tak reti nak appreciate lukisan belakang-belakang bangunan tu.
River Cruise.

Menjelang malam Bandar Hilir makin meriah dengan lampu. Dah jadi macam pesta lampu pulak dengan beca berhias. Macam lumba beca pun iya juga cuma belum sampai tahap rempit beca. Sekali tengok macam rombongan hantar pengantin pun ada juga. Suasana sungguh bingit tapi meriah. 

Tak pasti pukul berapa Bandar Hilir ni tutup sebab by kol 11.00 kami jalan kaki balik hotel, jalan masih sesak. Kereta penuh tak bergerak. Alhamdulillah rezeki dapat bilik hotel tengah bandar, tak perlu nak bersesak-sesak, berasap dalam kereta. Kami dapat deluxe room dengan satu katil king size. Tidur peluk-peluk tiga beranak. Enjoy the togetherness while it lasts. Esok bangun pagi pi breakfast. Free untuk 2 orang je. Kena caj tambahan RM8 untuk Nina, harga kanak-kanak. Hmmm.... masih nampak kanak-kanak rupanya cek mek molek tu.
Seperti biasa, bubuq nasi umi 

Lepas breakfast, pi cuci mata kat Mahkota Parade. Lepas lunch kami shoot off balik KL sebab Dayah nak terus balik Kuantan petang tu juga. 

Bye Melaka..... entah bila akan ke sini lagi.


PS: Thank you Ayah for the car and the card.....(^-^)


Tuesday 29 November 2016

Harga sebuah keselamatan...eh?


"Umi.....call la Dayah." Kalau dapat mesej ni dah agak dah mesti ada yang tak kena.

"Dayah kena saman! ......huhu.....tengah pokai ni." 


Kisahnya dalam dua minggu  ni students medic sibuk dengan ujian. Maka bertungkus-lumus lah mereka study demi masa depan negara dan ummah. Kalau nakkan privasi dan ketenangan maka di library lah tempatnya. Lepak study kat library selagi belum lupus opening hours. Kadang-kadang sampai lewat malam.

Nak dijadikan cerita, hari Jumaat lepas depa stay back sampai kol 11.00 malam. Dah namanya dah tengah malam sah-sahlah parking dekat marhalah semuanya penuh. Kalau adapun nun jauh daripada marhalah. Takkan la nak menapak jalan kaki sensorang tengah-tengah malam. Anak dara pulak tuh. Maka parking jelah kereta tepi jalan. Besoknya dalam kol 8.00 pagi ada surat saman terselit kat cermin kereta. Alasan, kereta mengganggu lalu lintas. Hmm..... bila pulak kenderaan awam beroperasi malam-malam. Rajin pulak sekuriti pi buat rondaan malam-malam buta just nak isu surat saman. Esoknya weekend kot! Kalau ikut MPK pun, tiada kesalahan parking di luar waktu bekerja.

Tapi tak boleh juga nak salahkan sekuriti tu. Depa hanya menjalan tugas dan mengikut arahan orang atasan. Walaupun sepatutnya ada sifat ihsan di situ. Boleh saja menggunakan budi bicara. Lagipun undang-undang tu pun manusia yang buat. Sepatutnya ada hikmah dalam membuat tindakan.   Orang atasan pun takleh nak salah juga sebab depa tak rasa macamana orang bawahan rasa. Sapa tah yang salah. Depa yang salah parking tu lah yang salah kot sebab alasan keselamatan diri tidak boleh diterima. Sabo jelah.

"Bayar jelah Dayah. RM100 je pun. Duit boleh cari ganti..." Depa tengah cari duit tu. La ni kan semua universiti dah kena potong bajet. Kot-kot duit saman Dayah tu depa guna untuk kebaikan bersama. Berganda-ganda lah pahala. 


PS: Apa-apa pun mudah-mudahan Allah ganti dengan rezerki yang lebih baik. All the best untuk mereka. Semoga Allah ganjari sesuai dengan usaha yang telah dilaburkan.



Monday 28 November 2016

Pengesahan sijil nikah.

Sebelum ni saya tak pernah kisah pun tentang sijil nikah. Apa sahaja urusan berkaitan nikah kawen ni semua hubby yang uruskan. Kami bernikah di UK pada bulan Mac 1991 setelah mendapat kebenaran daripada tok kadi dan wali di Malaysia sebulan sebelum akad nikah. Sepatutnya apabila pulang sahaja ke tanah air kena terus daftarkan pernikahan di mukim di mana wali (bapa saya la tu) tinggal. Tapi asyik tertangguh-tangguh hingga ke tahun 1997 barulah ada peluang nak singgah ke Pejabat Agama Islam Perak. Masa tu anak dah 3 orang. Alhamdulillah sepanjang masa kami tidak berdaftar tu tiada masalah yang timbul. Banyak juga dengar cerita kawan-kawan yang ada masalah hak penjagaan dan nafkah anak-anak, tuntutan harta dan sebagainya apabila berlaku perceraian atau kematian pasangan.

Maka, atas sebab yang tertentu, hari ini saya telah berurusan sendiri dengan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian & Rujuk, Pejabat Agama Islam Daerah Gombak. Selangor D.E untuk pengesahan sijil nikah kami. Pejabat Agama ni kat Keramat AU2. Berbanding dengan UTC keadaan Pejabat Agama ni agak menyedihkan. Sekali tengok mungkin la kita boleh kata depa ni zuhud tapi kalau dihalusi rasa macam di anak tiri pulak. Saya sendiri pun terkial-kial apa nak buat masa mula-mula sampai kat situ. Tercangak-cangak cari kat mana nak ambik nombor giliran. Rupa-rupanya kena isi buku macam buku log. Tulis nama, nombor IC, waktu tiba dan apa tah lagi. Lupa dah. Pastu ambik nombor sendiri. Depa dah siap susun nombor-nombor giliran tu atas meja elok-elok. Lepas tu tunggu je nombor tu di panggil. Kakak kaunter tu yang akan panggil sendiri, pakai mulut. Kalau kat UTC terasa macam semuanya serba canggih je. Hmm.....




Alhamdulillah servisnya sangat laju. Dalam masa 20 minit semua urusan dah selesai. Depa tak ada tanya apa-apa pun. Kita cuma serahkan sijil beserta salinan. Depa terus ambik dokumen tu bawa masuk dalam, cop dan tanda tangan. Siap. Takyah bayar apa-apa. Kakak yang jaga kaunter tu pun sangat peramah dan berbudi bahasa. Tak perasan pulak apa nama dia. Terima kasih kak....=D

Dah alang-alang ke Keramat maka ke Jusco Aeon lah kita. Shopping barang dapur penuh troli. Lepak makan-makan kat foodcourt. Hubby out station, so..... kita enjoy.


PS: Sering tertanya-tanya bila la institusi Agama Islam akan dinaik taraf.




Sunday 27 November 2016

Renew Passport Anak-anak.

Cuti-cuti ni banyak pulak angan-angan nak berholiday.  Al maklum la anak dah besar panjang. Senang nak bawa diri. Dulu alasan anak-anak masih kecil susah nak berjalan jauh. Kalau holiday pun pergi dekat-dekat dalam negara je. Tu pun cari lokasi yang mesra kanak-kanak.

Kata orang kalau inginkan anganan menjadi kenyataan haruslah ada persiapan. Apa-apa pun first thing first, sediakan passport dulu. Alhamdulillah passport saya dah renew masa sibuk berangan nak pi jaulah mahabbah hari tu. Pihak sekolah sponsor tiket dan penginapan 4 hari 3 malam ke Padang, Indonesia untuk cikgu-cikgu. Tapi disebabkan masalah teknikal saya terpaksa tarik diri.

Memandangkan passport Amin dan Nina dah luput tarikh, makanya hari Rabu baru ni saya bawa depa pi renew passport. Pilih hari Rabu sebab Amin tengah break paper SPM. Lepas paper Physics hari Selasa ada senggang masa seminggu untuk next paper, Chemistry. Boleh sambil-sambil release tension. Kami terus ke UTC Sentul sebab dah biasa ke situ. Pengalaman sebelum ni urusan di sana sangat mudah dan pantas. Kami keluar rumah kol 11.30 pagi. Alhamdulillah parking mudah dan percuma. Naik lif terus ke Imigresen di tingkat 1. Orang tak ramai so saya terus ke kaunter ambik nombor.

"Anak ye puan? Kita perlukan sijil kelahiran sebab mereka bawah 18 tahun." Adoi....tetiba rasa panas hati. Tak sangka pulak. Nak renew je pun. Saya dah bawa passport, IC dan tuan badan sekali. Tetiba nak surat beranak pulak.

"Puan duduk jauh ke? Takpe pergi je ke tingkat 3. Buat cabutan sijil kelahiran di JPN....." 

Dah sah-sah lah depa tu anak-anak saya sebab dah pernah ada passport sebelum ni. Rekod semua dah ada. Cuma nak renew buat baru je. Letak je ibu jari kat sensor tu semua detail keluar kat komputer. Nak jugak buat procedure pelik-pelik nih. 

Maka kami pun ke JPN. Ambik nombor giliran, isi borang permohonan cabutan sijil kelahiran, buat salinan IC ibu untuk setiap anak serta sediakan bayaran RM5 untuk setiap cabutan. Lepas tu tunggu giliran. Kaunter ada 10, yang buka hanya 3. Sabar jelah. Hampir satu jam menunggu akhirnya siap. Lepas tu pergi semula ke Imigresen tingkat 1. Terus ke kaunter 9 untuk ambik nombor giliran. Depa guna nombor yang sama untuk setiap kaunter seterusnya. 

    a) tunggu giliran untuk serahan borang dan ambik gambar di Kaunter 1-7.
    b) tunggu giliran untuk bayaran di kaunter 8
    c) tunggu passport siap di kaunter 10-12

Alhamdulillah urusan passport sangat pantas provided semua dokumen lengkap. 

Sekiranya berurusan untuk renew passport anak-anak umur dibawah 18 tahun pastikan bawa sekali:
     1. Anak-anak bersama passport masing-masing
     2. Sijil kelahiran anak-anak original
     3. Mycard/kad pengenalan anak-anak original
     4. Ibu/Bapa
     5. IC ibu/bapa

Ibu/bapa wajib hadir bersama anak dalam setiap urusan di kaunter (kecuali masa bayaran) untuk pengesahan. Bayaran RM200 setiap passport untuk tempoh lima tahun.

Setakat nak renew passport boleh siap dalam masa 2 jam sahaja tapi sebab saya tak bawa sijil kelahiran terpaksa tambah satu jam masa menunggu di JPN pulak. Mulanya depa suruh balik ambik surat beranak tu, tapi sebab dah ada kemudahan buat cabutan kat JPN tak payahlah buang masa ulang-alik. Kecuali lah kalau rumah kat sebelah UTC tu je......:)




PS: Angan-angan sahaja ye, mudah-mudahan ada rezeki menjadi kenyataan. Ongkosnya fikir kemudian.



Saturday 26 November 2016

Mesra Ria dihujung tahun....

Berakhir sudah tugasan saya sebagai Bendahari Bilik Guru Perempuan (BGP) untuk 2016. Kami berpakat sesama guru perempuan sahaja tubuhkan ala-ala persatuan macam kelab kebajikan gitu. Khas untuk penghuni BGP tahun semasa. Tak berdaftar pun. Saja seronok-seronok sediakan platform untuk buat kebajikan sesama sendiri. Kami kumpul yuran tahunan sebanyak RM60 seorang. Cara bayaran yuran terserah kepada budi bicara memasing. Ada yang bayar terus jumlah RM60 di awal tahun. Ada yang bayar secara rutin setiap bulan. Ada yang bayar bila-bila masa ada peluang. Tak kisah lah. Yang penting di akhir tahun semua bayaran dijelaskan. Peruntukan RM60 tu kami agihkan untuk beli cenderahati hari guru, jamuan, serta cenderahati akhir tahun. Kami juga sediakan hadiah untuk guru yang baru berkahwin, guru bersalin dan hadiah kenangan untuk guru yang berpindah tempat kerja. Selain itu ada juga untuk beli minuman dan biskut untuk pantry BGP. Alhamdulillah ada dikalangan guru yang bermurah hati dan tidak lokek memberi sumbangan lebih selain yuran bulanan. AJK yang dilantik juga bermurah hati menambah dana BGP dengan menjalankan jualan secara kecil-kecilan. Masing-masing tidak lokek menghulurkan bantuan tenaga, duit dan idea untuk memastikan aktiviti BPG berjalan lancar.

Alhamdulillah dengan dana yang agak mewah kami berpeluang mengadakan jamuan akhir tahun di Restauran Nelayan @ Gombak. Kami berBuffet Steamboat & Grill pada hari Isnin, 14 November hari tu. Opening Hours dia bermula jam 4 petang. Tapi kami booking seawal jam 2.30 petang sebab nak dapatkan privasi sebelum pelanggan lain tiba. Nak bersuka-ria sesama sendiri tanpa gangguan lelaki ajnabi. Dengan harga RM28.50 satu kepala, bufet yang depa hidang agak berbaloi. Depa hidang koleksi fresh seafood (ketam, udang, sotong, lala, dan siput /kerang apa tah tak tahu nama...), koleksi bola-bola ikan, udang, sotong, dan semua benda yang depa  letak dalam yongtaufoo tu, telur ayam, telur puyuh dan bermacam-macam mee/mihun. Untuk Grill depa sediakan marinated ikan keli, daging, ayam dan kambing. Selain tu ada nasi goreng dan mee goreng, rojak buah, ais krim, buah potong, juice dan minuman teh/kopi panas. 
Meja paling mewah.

Konon nak buat tema Arab. Berangan nak ber 'Arabian Night' tapi memasing ada komitmen keluarga dan anak-anak. Tak boleh nak arab sangat sebab kami buat disiang hari.  So memasing pakai asal ada jelah. 
Best Dress
Guru-guru yang cantik jelita.
(Ada yang terpaksa pulang awal-tiada dalam gambar)
Tang mana tah yang Arabnya.....

Depa juga sediakan pentas dan mikrofon free of charge. Seronok melihat guru-guru menunjukkan bakat terpendam selama ini, Selain dari hadiah akhir tahun kami juga buat acara tukar-tukar hadiah misteri. Masing-masing bawa satu hadiah. Tiada penetapan jenis hadiah juga harga. Seikhlas hati masing-masing. Kami kumpul semua hadiah tu dan letak nombor. Lepas tu  masing-masing akan cabut nombor untuk terima hadiah. Tiada siapa tahu daripada siapa atau kepada siapa hadiah tu bertukar tangan.
Terima kasih kepada pemberi hadiah ini, saya suka.....:)


PS: Bendahari lagi untuk 2017. Hmm....



Wednesday 23 November 2016

Warna-warni Konvo.....

"Umi jangan lupa Ahad, 6th November....semua orang wajib ada...."

Sebelum ni saya tak pernah kisah pasal konvo. Yang pasti setiap kali konvo UIA jalan akan sangat sesak dengan kereta. Berjiran rapat dengan UIA memang bercinta la nak pergi dan balik kerja. Yang bestnya pulak bila-bila masa pun boleh singgah pesta konvo cuci mata dan peghabih duit. Cuma tahun ni keinginan ke pesta konvo tu tak kunjung tiba. Faktor usia gamaknya.

Seperti biasa hujung minggu, apabila semua anak berkumpul, saya akan masak nasi lemak. Menu hari itu agak mewah dengan sambal tumis udang, ayam goreng, selain bahan asasnya ikan bilis, timun dan telur rebus.

"Makan kenyang-kenyang sebab lepas ni takut kalut orang ramai....." Seperi biasa hubby sentiasa berpesan-pesan dengan kesabaran.

"Kita gerak 10.30am takut takdok parking. Sampai sana nanti terus ambik gambar. Lepas tu makan, solat zohor. Kol 1.30pm dah kena beratur masuk dewan. Lepas habis terus keluar takut traffik jam." Seperti biasa juga hubby akan siap buat planning untuk sepanjang program.
Bagai dikata parking memang penuh.

Alhamdulillah kami dapat parking dekat Kuliyyah of Engineering walaupun agak jauh juga nak menapak ke CAC nun. Cuaca terang dan terik. Manusia tak berapa ramai sebab mereka yang terlibat dengan sesi pagi masih di dalam dewan. So kami jalan-jalan dulu cari bunga dan coklat. Seronok tengok masing-masing dengan wajah ceria. 

Dah rambang mata tak tau nak pilih bunga mana.
Kata VIP, haruslah diiring dan berpayung.
Tahniah, tahniah, beribu-ribu tahniah. 
Kompius.....sapa yang konvo sebenarnya?
The Dayangs...
The Body guard.
The family.
Us girlz, as always, bergosip tak pernah habis 

Berpeluh jugak la nak menunggu sesi petang. Sempat melepak kat kafe. Alhamdulillah perut masih kenyang so kami lepak-lepak minum air saja sementara menunggu waktu zohor. 
By kol 1.30pm semua dah beratur masuk dewan.
Laluan VIP. Rezeki hubby sebagai mantan staf UIA.  
3 dari belakang.

Tak terasa begitu cepat masa berlalu. Rasa macam baru semalam rasa sakit beranak. Rasa macam baru semalam dok marah-marah membebel sebab suka sangat melalak petang-petang tak cukup tidur. Rasa macam baru semalam dengar suara menjerit meraung sebab kena tinggal kat tadika. Alhamdulillah dah besar gajah dah mek super-tantrum ni. Siap dah boleh konvo dengan suami lagi. Tahniah Iman dan Marwan. Moga terus thabat di jalanNya. 
Yang diraikan, anak menantu.
Yang turut serta, besan kami.
Yang bergumbira ria, Ayah dan Umi.
(Terima kasih Hubby, menyediakan prasarana untuk kebahagiaan anak-anak di kemudian hari)


PS:  Menghitung hari untuk konvo zuriat seterusnya....

Sinki Dapur Tersumbat Lagi

Sejak balik dari bercuti ni banyak pulak kerja-kerja maintenance yang perlu dilakukan di rumah ini. Alhamdulillah, saya masih diberi kekuata...